Rukun fi'li termasuklah qiam atau berdiri tegak, ruku, sujud, duduk antara 2 sujud da duduk tahiyyat akhir. Rukun qauli pula termasuklah melafazkan takbiratul ihram, bacaan surah Alfatihah, bacaan tahiyyat akhir dan salam. Rukun qalbi atau hati pula ialah niat.
Namun demikian, 'kerja' hati di dalam solat tidaklah terhenti setakat niat sahaja. Kerja hati dalam solat adalah banyak dan umunya lebih rumit dan lebih berat dari anggota kerja jawarih dan lidah. Termasuk
kerja hati ialah tawadhuk, khusyuk dan khuduk walaupun ia tidak termasuk dalam rukun solat.
Tawadhuk ialah merendahkan diri, merendahkan hati atau merendahkan 'sayap' ke hadrat Allah Taala yang disembah. Merasakan diri kecil dan kerdil di hadapan Allah. Merasakan diri hamba yang sebenar-benarnya tanpa ada rasa 'tuan' di dalam hati. Supaya di dalam solat itu hanya ada 2 entiti. Satu ialah Tuhan yang disembah, dipuja dan diagungkan. Kedua ialah hamba yang hina-dina yang menyembah, yang memuja dan mengagungkan Tuhan dan bukan tuan, bukan raja, bukan sultan, bukan Tun, bukan Tan Sri dan sebagainya.
Khusyuk ialah rasa-rasa yang timbul di hati semasa solat. Orang yang khusyuk di dalam solat ialah orang yang mengalami dan merasakan berbagai-bagai rasa hasil dari penghayatan dan penjiwaan apa-apa yang dilafaz dan dibacanya. Rasa-rasa ini boleh jadi rasa-rasa bertuhan seperti merasakan bahawa Allah itu Maha Hebat, Maha Pemurah, Maha Pengampun, Maha Berkuasa, Maha Perkasa, Maha Mengetahui dan sebagainya atau rasa-rasa kehambaan seperti rasa bimbang, takut, cemas dan gerun terhadap Allah, bergantung harap, rasa cinta , rasa bersalah dan berdosa, rasa hina di sisis Allah dan sebagainya.
Khuduk pula ialah ketaatan dan penyerahan diri secara total kepada Allah. Merasakan bahawa dirinya adalah hak dan kepunyaan Allah dan terpulanglah kepada Allah untuk berbuat apa sahaja terhadap dirinya. Menyerahkan dirinya kepada Allah sepertimana bayi yang baru lahir menyerahkan dirinya kepada ibunya. Terpulanglah kepada ibunya sama ada akan memandikannya, membedungnya, menyusukannya ataupun tidak. Si bayi tidak ada apa-apa daya dan kuasa ke atas dirinya sendiri. Ataupun seperti mayat yang menyerahkan dirinya kepada pengurus mayat. Terpulanglah kepada pengurus mayat itu hendak berbuat apa sahaja kepada mayat tersebut. Si mayat tidak ada daya atau kuasa untuk membantah atau menghalang.
Rukun seperti rukun fi'li, qauli dan qalbi seperti niat, perlu dijaga kerana ia bersabit dengan sah atau batalnya solat. Namun begitu, kerja dan amalan-amalan hati yang lain di dalam solat seperti tawadhuk,
khusyuk dan khuduk ini sama pentingnya kerana tanpa amalan-amalan hati ini, solat kita terputus dari Allah walaupun pada zahirnya solat kita sah. Ada hadis yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada gambaran lahir kamu tetapi Allah melihat kepada hati dan amalan-amalan kamu."
Solat tanpa amalan-amalan hati tidak akan dapat mendidik kita, tidak akan dapat membersihkan sifat-sifat mazmumah yang bersarang di hati kita, tidak akan dapat mengembalikan fitrah kita kepada keadaan asal semulajadinya yang suci murni, tidak akan dapat membangunkan insaniah kita dan tidak akan dapat mencegah dari yang keji dan yang mungkar.
2 ulasan:
mmg benar.. solat hendaklah senantiasa di pelihara termasuk rukun yg wajib.. apa yg sya kesali.. ramai org yg hanya mengerjakan solat hanya sebagai syarat sahaja.. yelah solat yg di pelajari masa sek agama waktu darjah 1 berbelas2 tahun dahulu.. langsung xde improvement.. ada juga yg suka solat 2 in 1.. solat zohor akhir waktu dan asar awal waktu dgn alasan sibuk atau x sempat.. ntahlah.. susah nk cakap.. :(
salam,
bersolat sekadar melepaskan batuk di tangga... mana mungkin nak menjadikan solat sebagai pencegah keji dan munkar?
Catat Ulasan