Rabu, 14 April 2010
Hati Yang berkarat
Banyaknya dosa kita pada Allah???..
Adakah hati sahabat sufi sekalian bersih?.. tidak berkarat?..atau berkarat?..tidak bersih?..
Renungkanlah..dan selamat beramal..
“Sesungguhnya hati-hati ini akan berkarat sebagaimana besi berkarat apabila terkena air”
Baginda s.a.w ditanya, “ Ya Rasulullah apakah penggilapnya?” Rasulullah bersabda:
Banyakkan mengingati mati dan membaca al-Quran.”
(Hadith riwayat Baihaqi)
Dosa yang banyak dan kelalaian daripada mengingati ALLAH akan menyebabkan hati berkarat sebagaimana besi yang akan berkarat apabila terkena air. Membaca AL-Quran dan mengingati mati akan menyinarkan kembali hati-hati itu. Hati seumpama sebuah cermin, sebanyak mana hati kabur maka sebanyak itulah kurangnya pantulan cahaya makrifat. Sebanyak mana hati itu bersih dan jernih maka sebanyak itulah pantulan cahaya makrifat akan jelas dan nyata pada hati itu.
Oleh kerana itu , sejauh mana seseorang itu melakukan maksiat yang didorong oleh nafsu syahwat atau melakukan amalan-amalan syaitan maka sekadar itulah dia akan jauh dari makrifatullah. Untuk membersihkan hati inilah ramai sheikh tariqat menekankan latihan-latihan kerohanian,mujahadah-mujahadah,bacaan-bacaan tertentu dan zikir-zkir kepada ALLAH S.W.T.
Disebutkan dalam beberapa hadith bahawa apabila seseorang hamba melakukan satu dosa maka satu titik hitam akan terlekat pada hatinya. Sekiranya dia benar-benar bertaubat maka titik hitam itu akan hilang. Jika dia melakukan satu dosa lagi maka satu titik hitam lain yang lain akan muncul. Demikianlah, sekiranya dia terus menerus melakukan dosa maka lama-kelamaan dengan sebab banyaknya titik hitam itu hatinya akan menjadi hitam legam.
Lantaran itu keinginan untuk melakukan melakukan kebaikan tidak wujud lagi dalam hati yang sedemikian, sebaliknya hati itu hanya akan cenderung kearah keburukan.
Semoga ALLAH S.W.T menyelamatkan kita daripada keadaan seperti itu. Keadaan ini telah di bayangkan oleh Al–Quran dalam surah Al-Mutaffifin, ayat 14 yang bermaksud:
“Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.”
Dalam satu hadith yang lain Rasulullah s.a.w bersabda,
“ Aku meninggalkan dua penasihat, satu yang berkata-kata dan satu lagi yang diam. Yang berkata-kata itu ialah Al-Quran yang mulia dan yang diam itu ialah mengingati mati.”
Sabdaan Baginda itu tetap kita junjung. Walau bagaimanapun kedua-dua penasihat itu hanya berkesan untuk orang yang mahu menerima nasihat dan menganggap nasihat itu perlu untuknya. Sementara itu mereka yang menganggap agama itu sia-sia dan menghalang kemajuan sudah tidak memerlukan nasihat sedemikian.malah dalam keadaan tersebut sebarang nasihat pun tidak akan membawa manfaat kepada mereka.
Hasan Basri rah. berkata:
“ Orang pada zaman dahulu meyakini bahawa Al- Quran itu adalah perintah daripada ALLAH sepanjang malam mereka memikir dan merenung tentang kandungannya dan pada waktu siang mereka beramal dengannya.
Sementara kamu bersungguh-sungguh membetulkan sebutan huruf-huruf dan baris-baris huruf tersebut tetapi kamu tidak menyakini Al-Quran sebagai perintah Tuhan dan tidak juga kamu merenung dan memikirkan kandungan Al-Quran.”
Dicatat oleh bukaminda di 6:57 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
semoga kita dirahmati Allah S.W.T
Catat Ulasan